Sunday, June 1, 2008

INSENTIF GUNA NGV

Insentif guna NGV – Najib

SHAH ALAM 15 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji penambahan insentif yang mungkin diberikan kepada orang ramai sekiranya bilangan kenderaan gas asli (NGV) di negara ini semakin bertambah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, buat masa sekarang penggunaan kenderaan NGV di negara ini masih rendah berikutan kekurangan infrastruktur merangkumi pusat ubah suai dan stesen gas asli mampat (CNG).
Katanya, sehingga kini terdapat hanya 19,000 NGV yang mana 99 peratus daripada jumlah itu adalah teksi bandar.
‘‘Jika melihat dari prospek ekonomi, penggunaan CNG ini lebih menjimatkan terutama bagi negara-negara yang mengimport petrol dan diesel dan ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada negara lain.
‘‘Semuanya kini terletak pada kita, sama ada untuk mengubah kepada penggunaan CNG atau tidak dan pada masa sama banyak negara di dunia yang mengaplikasikan penggunaan CNG ini.
‘‘Di pihak kerajaan, kita akan memantau usaha-usaha menggalakkan penggunaan CNG yang telah dijalankan selama ini selain mengkaji insentif-insentif baru yang boleh diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan bas CNG dan menyaksikan majlis memeterai perjanjian Pembekalan Bas CNG dan Pengurusan Pinjaman antara Nadicorp Holdings dan Samsung Corporation di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Naib Presiden Samsung Corporation, Kim Ki- Jung.
Mengenai pemberian insentif, Najib berkata, kerajaan buat masa ini menumpukan kepada kenderaan berat dan bas dengan memperkenalkan insentif khas seperti geran kepada syarikat bas untuk membeli bas NGV.
Selain itu, katanya, kerajaan juga mengurangkan kadar cukai jalan untuk NGV dan mengurangkan duti import pelbagai peralatan NGV bagi menggalakkan lebih banyak kenderaan bertukar kepada CNG.
Pada masa sama, ujar beliau, kerajaan turut berusaha dengan pelbagai cara menggalakkan syarikat swasta menubuhkan pusat ubah suai untuk menukarkan kenderaan kepada NGV.
Najib berkata, kerajaan juga telah mengarahkan Petronas menyediakan 200 stesen CNG seluruh negara sebelum akhir tahun 2008.
Selain itu, beliau meminta agar syarikat swasta tampil memberi cadangan dan maklum balas supaya kerajaan boleh menghasilkan formula, polisi, pendekatan bersesuaian dan pada masa yang sama bersama-sama meningkatkan kesedaran orang ramai untuk bertukar kepada NGV.

Sumber: Utusan Malaysia